Sejarah Miri
 

(gambar kiri - Grand Old Lady telaga minyak pertama Miri manakala gambar kanan pemimpin Orang Ulu semasa Peace Conference di Marudi Baram pada tahun 1899)

 

Dalam tahun 1883, Miri telah menjadi bahagian keempat Sarawak apabila kawasan di utara bahagian ketiga Sarawak yang bermula dari Tanjong Kidurong berdekatan dengan Bintulu sehingga ke Kuala Baram telah diserahkan oleh Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Momin kepada Sir Charles Brooke, Rajah Kedua Sarawak. Pada masa itu,penduduk hidup dalam ketakutan disebabkan pertelingkahan antara kampung dan di kalangan puak kerap berlaku. Selain itu keadaan ini bertambah buruk akibat kekerasan dan penindasan oleh pemerintahan Sultan Brunei.

Rajah segera melantik Tuan Residen Baram yang pertama bernama Claude Champion de Crespigny untuk menguatkuasakan undang-undang dan menjaga ketenteraman pentadbiran Rajah Brooke di Baram. Beliau membina pejabat di atas bukit di tebing Sungai Baram. Tidak lama selepas itu, tempat ini berkembang menjadi penempatan kecil pedagang Cina dan penduduk tempatan. Tempat ini dinamakan Claudetown sebagai penghormatan terhadap beliau. Sejajar dengan tradisi di Baram, Claudetown kemudiannya ditukar nama menjadi Marudi mengambil sempena dengan nama anak sungai yang mengalir merentas pekan tersebut.

Pada tahun 1888, semasa mengambil alih tugas Residen terdahulu, Dr. Charles Hose telah bercadang untuk mewujudkan suasana muhibah dan membawa persefahaman antara puak yang bertelingkah. Pada tahun 1889 satu Persidangan Besar Perdamaian telah berlangsung dengan jayanya. Ini disambut secara besar-besaran dengan pesta ria dan perlumbaan perahu panjang. Dari itu, lahirlah perayaan Regata Pertama Baram yang termashyur sehingga kini.

Dengan keamanan berjaya dipulihkan, Residen dapat menguruskan kerja cari gali minyak di sekitar Marudi dan kemudiannya di sekitar kampung nelayan di kawasan Muara Sungai Miri berhampiran pantai. Beliau telah meyakinkan Rajah, yang kemudiannya menandatangani perjanjian pemberian hak kepada pihak Anglo-Saxon Petroleum Company dari London untuk membuat perdagangan secara komersial bagi cari gali minyak di Miri. Cari gali bermula pada 10 Ogos 1910 di atas bukit di belakang kampung Miri dan pada 22 Disember 1910 minyak ditemui. Dengan kejayaan ini, bermulalah sejarah Shell dan industri petroleum di Sarawak dan kemudian dengan Petronas pada tahun 1978.

Menjelang abad ke-20, peniaga telah mula bertapak di kawasan yang baharu seperti di Long Lama pada tahun 1905 dan kemudian kawasan hulu Long Akah. Pada masa yang sama, peniaga Cina mula tiba dan menetap di Sibuti (1895) dan pekan Niah (akhir abad ke-19), Bekenu (1933 – menggantikan Sibuti selepas berlakunya kebakaran) dan Beluru (1930-an). Hasil daripada perubahan terhadap sempadan Bahagian pada tahun 1946, Bintulu telah menjadi sebahagian daripada Bahagian Miri dan secara langsung telah merangkumi pekan Bintulu dan Tatau. (Kedua-duanya dibentuk pada akhir abad ke-19).

Semasa penaklukan Jepun, 10,000 orang angkatan tentera Jepun telah menyerbu Miri pada 16 Disember 1941 kerana telaga minyaknya yang strategik sebelum menyerang Kuching dan tempat-tempat lain di Sarawak. Beberapa bulan kemudian, dengan ketibaan sejumlah besar pekerja telaga minyak yang terlatih dan berpengalaman dari Nen Ryo Hai Kyu Sho, Jepun, mereka telah mengambil alih semua operasi minyak dan seterusnya membina lapangan terbang pertama Miri di Lutong. Semua pekerja Shell bekerja dengan syarikat baharu ini. Orang awam pada masa itu terpaksa melalui keadaan hidup yang teruk dan daif. Kehidupan cuma kembali kepada normal selepas pihak Jepun menyerah kalah di bawah Pasukan Tentera Bersekutu pada 21 Jun 1945.

Semasa rundingan berhubung dengan penubuhan Malaysia sedang berjalan dan bergerak positif mengikut jadual, kerajaan Indonesia dan puak penentang di Brunei mempunyai agenda tersendiri. Puak penentang Brunei yang diketuai oleh Azahari telah mengadakan pemberontakan menentang Sultan dan dia bekerjasama dengan Indonesia bagi menentang penubuhan Malaysia. Dia telah menceroboh dan mengambil alih Miri dan Bekenu dalam beberapa hari pada bulan Disember 1962, tetapi telah ditewaskan dengan segera. Pada masa terdekat pencerobohan diikuti oleh serangan daripada negara Indonesia di sempadan Dataran Tinggi Kelabit. Penduduk tempatan dilantik sebagai Pengakap Sempadan, bagi menyokong Pasukan Tentera Bersekutu. Selepas kekalahan tersebut, Konfrontasi Indonesia telah dibubarkan pada 1966. Di tengah perperangan tersebut, pilihan raya bebas Majlis Tempatan telah diadakan pada Jun 1963 untuk membolehkan penduduk Sarawak mentadbir negeri mereka sejajar dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Sumber dari buku Masyarakat Kemajuan Kemakmuran