Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 Latar Belakang: 4 Latar Belakang: 5 Latar Belakang: 6 Latar Belakang: 7 

Kemaskini Pada: 23 Jun 2017
Versi 8.0.2
Rampasan Dadah Terbesar
Tarikh : 14 Mar 2017  Sumber Berita: The Borneo Post & Utusan Borneo, 14 Mac 2017
 

MIRI: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak melakar satu lagi kejayaan menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di bandar raya ini dengan melakukan rampasan dadah terbesar di Sarawak setakat ini bernilai RM139,609.

Semua dadah pelbagai jenis itu dirampas berikutan penahanan tiga lelaki berusia dalam lingkungan antara 19 hingga 23 tahun di dua lokasi berbeza dalam satu operasi malam Selasa lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Suprintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di tepi jalan berhampiran kedai makanan segera di sebuah kompleks beli-belah di sini jam 8.45 malam.

Polis menahan suspek yang berusia 19 tahun dalam sebuah kereta yang dipandunya, turut menjumpai dedaun kering disyaki dadah jenis ganja di atas tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut.

"Dedaun kering mampat disyaki ganja itu masing-masingnya disaluti plastik lutsinar seberat 4.63 kilogram.

Dengan dipandu arah oleh suspek, anggota JSJN IPK Sarawak menahan dua lagi lelaki masing-masingnya berusia 22 dan 23 tahun di sebuah bilik hotel di pusat bandar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri di sini semalam.

Hasil pemeriksaan, polis merampas 26 papan plastik timah berwarna merah, disyaki pil erimin 5 sebanyak 242 biji dengan berat kasar 67 gram, pil ecstasy pelbagai warna sebanyak 1,783 biji (511 gram) dan satu paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 13 gram.

Polis turut merampas satu gulung pembalut plastik lutsinar, dua bilah pisau, satu paket plastik lutsinar berisi paket-paket plastik kosong dan satu unit alat timbang digital daripada dua lelaki di bilik hotel tersebut.

Polis turut merampas kunci serta alat kawalan jauh sebuah kenderaan, satu unit telefon bimbit jenama Oppo, satu unit telefon bimbit Samsung, satu unit telefon bimbit jenama iPhone 6, satu unit telefon bimbit jenama Vivo dan enam keping kad pembuka pintu hotel bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Stanley berkata, rampasan keseluruhan dadah tersebut bernilai RM139,609 manakala nilai sitaan ialah RM85,131 dan ujian saringan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis ketamin.

Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Semua suspek dipohon reman tujuh hari membantu siasatan dan hasil semakan polis mendapati dua suspek terbabit pernah terlibat kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek pernah terlibat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.