Font Size AAA
Bahasa:  
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 Latar Belakang: 4 Latar Belakang: 5 Latar Belakang: 6 Latar Belakang: 7 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 17 11 2017
Versi 8.0.3
 
Orang awam diminta lapor MBM jika terdapat masalah kemudahan
Tarikh : 14 Mar 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo, 14 Mac 2017
 

MIRI: Orang awam berdepan masalah kemudahan tidak memuaskan seperti sistem perparitan, lampu jalan, banjir dan sebagainya diminta melaporkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) agar tindakan segera dapat diambil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, selain MBM, orang awam juga boleh menghubungi SUPP setiap cawangannya di sini untuk diambil tindakan sewajarnya.

Setiausaha Agung SUPP itu berkata, dengan melaporkan perkara atau masalah yang berlaku maka MBM dapqat mengenal pasti masalah dan mencari jalan penyelesaian segera.

Tanpa mengira kawasan atau konstituensi mana, peranan kami untuk turun padang mendengar masalah dan menyelesaikan isu-isu dihadapi rakyat.

Sehubungan itu, orang awam mempunyai masalah kemudahan disediakan atau terdapat di kawasan masing-masing memberi maklum balas segera kepada kami,” katanya semasa lawatan pemeriksaan ke tapak bermasalah di sini semalam.

Lawatan di tiga kawasan konstituensi Piasau menerima manfaat daripada dana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu Kampung Sungai Lusut, Kampung Luak 1 (4B) dan kawasan perumahan Taman Bumiko.

Beliau berkata, dana pembangunan kawasan itu sudahpun diluluskan dan prosedur pengagihan projek dana tersebut dikendalikan oleh MBM termasuk kajian mengenal pasti projek dan impaknya sebelum dibuka untuk tender.

Pada pilihan raya negeri lalu, Kampung Sungai Lusut, Kampung Luak dan Taman Bumiko dimasukkan dalam konstituensi Piasau, saya akan memastikan kawasan-kawasan memerlukan kerja-kerja naik taraf, diperbaiki dan dibangunkan dilaksanakan segera,” katanya.

Di bawah RTP, jalan kampung sepanjang 116 meter Kampung Sungai Lusut dinaik taraf dengan memperbesar dan penurapan semula jalan bermula simpang masuk ke kampung itu sehingga ke Surau Darusl Aman.

Ketika saya melakukan lawatan Hari Raya ke kampung itu tahun lalu saya amat menyedari keadaan jalan amat teruk dan saya faham dengan keadaan dialami penduduk di sini.

Sehubungan itu saya merayu untuk dana bagi projek ini dengan peruntukan berjumlah RM100,000 telah diluluskan bagi kerja-kerja penurapan permukaan jalan dan projek menaiktarafnya,” tambahnya lagi. 

Sementara di Kampung Luak 1 (4B), sistem perparitan akan dinaik taraf di bawah RTP yang sama.

Sebelum ini, saya menerima banyak aduan daripada penduduk kampung di sini kerap berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat turun menyebabkan saya turun memantau keadaan.

Salah satu cara mengatasi banjir kilat kampung ini dan beberapa kawasan sekitar dengan menaik taraf sistem perparitan melancarkan pengairan,” katanya sambil menambah projek itu menelan kos RM250,000.    

Isu sama berlaku di Taman Bumiko dengan projek menaik taraf perparitannya dilaksanakan pembinaan semula turut dilakukan dengan menambah laluan pejalan kaki baharu di sekitar kawasan perumahan tersebut.

MBM akan mengkaji pelan pelaksanaannya dan mengemaskini projek tersebut untuk diluluskan sebelum dilaksanakan,” jelasnya.

Seperti kedua-dua kawasan itu, Taman Bumiko adalah dalam konstituensi Lambir, bagaimanapun dimasukkan dalam DUN Piasau selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu. 

Semasa lawatan itu, Sebastian ditemani beberapa kaunselor MBM seperti Kr Aries Leong, Kr Lee Thin Hin selain pegawai MBM dan ketua masyarakat.