Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 Latar Belakang: 4 Latar Belakang: 5 Latar Belakang: 6 Latar Belakang: 7 

Kemaskini Pada: 19 Sept 2017
Versi 8.0.2c
Bersama banteras jenayah seksual kanak-kanak
Tarikh : 15 Mar 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo, 15 Mac 2017
 

 

MIRI: Masyarakat harus bersama kerajaan membanteras perlakuan jenayah seksual kanak-kanak secara holistik dan komprehensif dengan mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Aktivis Sosial Masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar berkata pembentangan undang-undang baharu jenayah seksual pada sesi Parlimen menunjukkan kerajaan amat bertegas dalam soal itu.

Masyarakat terutama ibu bapa sudah pasti menyokong undang-undang baharu itu sekiranya diluluskan di Parlimen kerana jenayah seksual melibatkan kanak-kanak perlu diperangi secara besar-besaran,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, masyarakat setempat terutama jiran berhampiran memainkan peranan penting melaporkan kejadian jenayah seksual sekiranya berlaku di kawasan penempatan mereka.

Kita amat berharap masyarakat melaporkan kejadian jenayah seksual kanak-kanak dan tidak malu mengetengahkan kejadian itu ke pengetahuan umum agar pelakunya dikenakan tindakan tegas,” jelasnya.

Menurutnya, terdapat mangsa jenayah seksual kanak-kanak malu atau tidak berani memberitahu perkara yang berlaku ke atas diri mereka kerana kemungkinan mendapat ancaman daripada pelaku.

Sehubungan itu, ibu bapa harus memainkan peranan signifikan dengan mendekati anak-anak mereka atau melihat jika berlaku perubahan sikap ketara.

Hanya ibu bapa sangat dekat dengan anak-anak semasa di rumah, jika mereka melihat berlaku perubahan sikap atau fizikal anak-anak mereka harus menyiasat punca dan sebabnya,” katanya.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun.

Malah, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 2,759 kes rogol, 412 sumbang mahram, 1,423 mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa berumur  bawah 18 tahun bagi tempoh 2015 dan 2016.

Sehubungan itu, Wan Zain berkata isu jenayah seksual melibatkan kanak-kanak tidak harus dipandang enteng sebaliknya semua pihak memainkan peranan bersama membanteras jenayah itu.