Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 Latar Belakang: 4 Latar Belakang: 5 Latar Belakang: 6 Latar Belakang: 7 
 
 
 
 
Kemaskini Pada: 24 Feb 2017
Versi 8.0.1
 
Produk MenarikProduk Menarik
Belacan Miri merupakan antara produk tempatan yang begitu terkenal sehingga ia menjadi buah tangan wajib untuk dibawa pulang oleh pelancong. Istimewanya belacan Miri terletak pada rasanya yang lebih enak, selain mempunyai aroma unik sebagaimana belacan Bintulu yang juga terkenal di kalangan pelancong. Ditambah lagi dengan proses pembuatannya dengan kaedah tradisonal menggunakan alu dan lesung. Ini kerana kaedah itu dikatakan menghasilkan belacan yang lebih enak. Belacan Miri yang mempunyai reputasi tersendiri dijual pada harga yang agak tinggi iaitu antara RM50 hingga RM60 sekilogram. Untuk kemudahan orang ramai, ia juga boleh didapati dalam bentuk lebih kecil iaitu 100 gram, 150 gram, 200 gram dan 300 gram dengan masing-masing pada harga antara RM3 hingga RM10  
Bubuk Kering atau geragau kering merupakan salah satu produk selain dari belacan Miri. Bubuk kering diproses dengan menggunakan bubuk yang segar dari laut, dicuci dan seterusnya dijemur sehingga kering. Bubuk kering boleh diperolehi di tamu-tamu sekitar bandaraya Miri yang kebiasaanya dijual dalam bungkusan mengikut sukatan kilogram.
Beras Bario merupakan antara beras tersohor di negara ini kerana rasanya berbeza daripada beras biasaTerdapat dalam dua jenis, beras putih dan beras yang warnanya keperang-perangan. Struktur bijirinnya lebih kecil dan melekit seperti pulut. Lebih menarik lagi, walaupun nasi dimakan dalam kuantiti yang banyak, ia tidak akan membuatkan perut anda senak kekenyangan. Ini kerana ia lebih lemak, saiz lebih kecil dan yang penting lebih mahal iaitu antara RM25 hingga RM30 segantang (3.5 kilogram). Beras Bario dijual dengan harga mahal kerana produk itu terpaksa diterbangkan ke Miri menggunakan pesawat ataupun pengangkutan darat melalui jalan balak yang mengambil masa perjalanan sehingga 12 jam untuk sampai ke bandar raya Miri.
Garam bukit di Bario ini merupakan salah satu daripada hasil bumi negeri Sarawak yang sememangnya diketahui kaya dengan sumber mineral semulajadi. Garam ini diperolehi sumber telaga air masin di sekitar Bario. Garam bukit dikatakan mempunyai khasiat zat besi, iodin, kalium dan magnesium semulajadi sesuai digunakan sebagai penambah perisa makanan selain mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan. Sebatang garam biasanya akan dijual pada harga antara RM10 hingga RM 15 dengan peningkatan kos sebanyak tiga kali ganda apabila memasuki pasaran luar seperti Miri dan Kuching.


Pusat Kraftangan Miri yang terletak di Jalan Brooke merupakan pusat bagi hasil seni etnik dan kraftangan di bahagian utara Sarawak. Gerai-gerai disini diuruskan oleh penghasil kraft itu sendiri dan anda juga berpeluang melihat sendiri kemahiran tangan mereka di sini. Di antara barang-barang yang dijual disini termasuk tikar dan bakul Penan, ukiran kayu dan hasil manik Orang Ulu serta pelbagai jenis kain yang didatangkan dari seluruh negeri. Persembahan kebudayaan juga sering diadakan pada waktu hujung minggu. Sumber dari Sarawak Tourism Board


Parang ilang atau mandau dalam masyarakat pribumi di Sarawak bukan sahaja merupakan senjata tradisional, malah ia juga merupakan salah satu seni warisan yang masih dipertahankan sehingga kini. Kini, parang itu sering dijadikan cenderamata atau buah tangan yang cukup unik dan menarik untuk disimpan sebagai kenangan. Parang ilang untuk hiasan atau cenderamata dijual pada harga antara RM100 hingga RM400 bergantung kepada panjang dan hiasan yang terdapat pada parang.